DOA ITU SENJATA ORANG MUKMIN
ALLAH mengingatkan kita supaya sentiasa berdoa kepada-Nya kerana doa adalah
senjata mukmin. Perkara itu dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya daripada
Ali, katanya, Baginda bersabda bermaksud: “Doa itu adalah senjata orang
mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.†(Hadis riwayat Al-Imam
Al-Hakim).
Sebagai hamba Allah yang sangat lemah, kita memerlukan pertolongan
daripada-Nya.
Kita sebagai orang beriman, hendaklah percaya dan yakin bahawa tidak ada daya upaya,
jika tidak dengan pertolongan Allah. Di sinilah peranan dan pentingnya doa itu.
Doa adalah pengakuan terhadap kelemahan dan kekurangan diri sebagai makhluk
Allah. Ia juga perisai yang boleh menghindarkan bala dan musibah.
Pakar jiwa pernah menyatakan bahawa tekanan jiwa dan penyakit rohaniah boleh
disembuhkan bergantung kepada pengakuan terus terang pesakit atau penghidapnya
kepada doktor.
Bayangkan, itu baru pengakuan terhadap sesama manusia. Bagaimanakah pula jika
pengakuan kita kepada Allah yang Maha Berkuasa? Tentu jiwa akan lebih tenteram
dan tenang.
Perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Ketahuilah dengan
mengingati Allah (zikir Allah ) itu tenang tenteramlah hati manusia.†(Surah
ar-Ra’d, ayat 28)
Dalam hubungan ini, keimanan mantap dan kuat terhadap Allah juga memainkan
peranan penting dan penyebab kepada doa dimakbulkan.
Firman Allah bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada mu
mengenai Aku, maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa
hampir kepada mereka: Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia
berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka beriman kepada Aku supaya mereka
menjadi baik serta betul.†(Surah al-Baqarah, ayat 186)
Dalam berdoa, kita hendaklah khusyuk dan dilakukan dengan ikhlas kerana Allah
bagi menjamin ia dimakbulkan-Nya.
Janganlah jemu untuk berdoa kepada Allah sehingga mengatakan ia panjang, banyak
perkara yang dipinta dan membuang masa.
Allah akan mengabulkan doa orang yang memohon kepada-Nya. Firman Allah
bermaksud : “Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepada ku nescaya aku
perkenankan doa permohonan kamu.†(Surah al-Mukmin, ayat 60)
No comments:
Post a Comment