Make Glitter Text

Wednesday 25 April 2012

DOA ITU SENJATA ORANG MUKMIN


DOA ITU SENJATA ORANG MUKMIN

ALLAH mengingatkan kita supaya sentiasa berdoa kepada-Nya kerana doa adalah senjata mukmin. Perkara itu dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya daripada Ali, katanya, Baginda bersabda bermaksud: “Doa itu adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.” (Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim).


Sebagai hamba Allah yang sangat lemah, kita memerlukan pertolongan daripada-Nya.

Kita sebagai orang beriman, hendaklah percaya dan yakin bahawa tidak ada daya upaya, jika tidak dengan pertolongan Allah. Di sinilah peranan dan pentingnya doa itu.
Doa adalah pengakuan terhadap kelemahan dan kekurangan diri sebagai makhluk Allah. Ia juga perisai yang boleh menghindarkan bala dan musibah.

Pakar jiwa pernah menyatakan bahawa tekanan jiwa dan penyakit rohaniah boleh disembuhkan bergantung kepada pengakuan terus terang pesakit atau penghidapnya kepada doktor.
Bayangkan, itu baru pengakuan terhadap sesama manusia. Bagaimanakah pula jika pengakuan kita kepada Allah yang Maha Berkuasa? Tentu jiwa akan lebih tenteram dan tenang.

Perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Ketahuilah dengan mengingati Allah (zikir Allah ) itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)
Dalam hubungan ini, keimanan mantap dan kuat terhadap Allah juga memainkan peranan penting dan penyebab kepada doa dimakbulkan.

Firman Allah bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada mu mengenai Aku, maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka: Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka beriman kepada Aku supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Dalam berdoa, kita hendaklah khusyuk dan dilakukan dengan ikhlas kerana Allah bagi menjamin ia dimakbulkan-Nya.
Janganlah jemu untuk berdoa kepada Allah sehingga mengatakan ia panjang, banyak perkara yang dipinta dan membuang masa.

Allah akan mengabulkan doa orang yang memohon kepada-Nya. Firman Allah bermaksud : “Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepada ku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)